APABILA YB ZUL UNGKIT JASA BELIAU TERHADAP KAK WAN
Oleh Wan Fauzdin  - Laman M@RHAEN

 
 
 



 
 
 
 
 

RIWAYAT politik YB Zul seorang manusia yang suka menggelar rakan-rakan sekutu yang tidak sehaluan dengannya sebagai `Firaun kecil' itu telah pun tamat di dalam PKR. Umpama baru mendapat kemenangan di dalam pilihanraya, kebanyakan penyokong-penyokong PR amat gembira sekali dengan ketiadaan YB Zul di dalam PR. Suatu ketika, YB Zul perasan beliau umpama `janda' yang baru diceraikan ingin pula disunting oleh PAS, namun itu hanya angan-angan YB Zul yang sememangnya suka bersikap ego dan meninggi diri. Tidak beberapa jam, beberapa kenyataan dari pimpinan PAS secara tegas menolak kehadiran YB Zul ke dalam PAS. Di mana hendak diletak muka `janda' muda ini?

Saya pelik dengan perangai YB Zul yang kununnya pejuang Islam, tetapi tidak menjawab hujah secara politik terhadap kenyataan DS Wan Azizah yang mahu agar beliau meletakkan jawatannya sebagai MP Kulim Bandar Baru. Selain dari hujah beliau yang mengatakan DS Wan Azizah juga patut meletakkan jawatan kununnya gagal memperjuangkan Islam di dalam PKR. Terlalu bodoh hujah YB Zul itu. Apa perjuangan Islam yang PKR tidak perjuangkan? Adakah dengan membela pejuang tempang seperti beliau maka PKR dianggap memperjuangkan Islam? Apakah dengan mematuhi pandangan Syeikh Yusof Qardhawi tentang isu kalimah Allah itu dan menolak pandangan ustaz `janda muda' ini maka PKR tolak Islam?

DS Wan Azizah bukan tidak mengenang jasa-jasa (jika ada dan ikhlas) dari YB Zul terhadap beliau dan keluarganya sewaktu DS Anwar difitnah. Oleh kerana mengenangkan jasanya itu lah maka DS Wan Azizah `amat sayang' kepadanya dan mahu beliau menjadi calon MP Bandar Kulim setelah parti asal beliau sendiri PAS tidak mencalonkannya. DS Wan Azizah mahu agar YB Zul diberi tempat untuk menjadi pejuang sejati kepada rakyat. Sewajarnya YB Zul bersyukur kerana di dalam jutaan rakyat yang menyokong dan berusaha keras, ditangkap, dipukul, disiksa, hilang jawatan dan sebagainya sewaktu membela DS Anwar, YB Zul dikira amat beruntung, sedangkan masih ramai lagi pejuang-pejuang yang tidak kurang berjasa kepada gerakan reformasi yang sehingga kini menderita namun mereka tetap menyokong perjuangan DS Anwar sehingga tercapai kejayaan suatu ketika nanti. YB Zul telah diberi peluang untuk berbakti kepada rakyat sebagai MP atas jasa rakyat juga yang menyokongnya. Kini, rakyat ingin juga mengungkit jasa-jasa yang telah mereka berikan terhadap YB Zul seperti YB Zul ungkit jasa-jasanya terhadap DS Wan Azizah. Kita mahu YB Zul letak jawatan sebagai MP segera jika dia masih lagi seorang insan yang bermaruah.

Besar sangatkah jasa YB Zul terhadap keluarga DS Anwar sehinggakan DS Wan Azizah selaku Presiden PKR tidak boleh berkata apa-apa terhadapnya? Apakah beliau mahu DS Wan Azizah membisu sahaja melihat gelagatnya yang bodoh itu semata-mata beliau pernah berjasa kepada DS Anwar? Masakan kerana YB Zul seorang, DS Wan Azizah mahu hancurkan harapan rakyat yang menyokong PR? Bukankah jutaan rakyat juga berjuang bersama membela DS Anwar, bukan YB Zul seorang. Berapa banyak luka-luka atau lebam-lebam tubuh badan YB Zul untuk mempertahankan DS Anwar? Cuba bandingkan dengan YB Tian Chua dan mereka-mereka yang lain sewaktu era reformasi. Tidak malukah YB Zul?

Jika mahu dikira jasa, Ezam raja sesumpah pun ada jasa. Roslan Kassim dan Zahid Md Arip pun ada jasa mereka. Tetapi ke mana perginya jasa-jasa mereka itu? Apakah bernilai untuk rakyat hargai sekarang ini? Satu sen pun rakyat tidak menilainya kerana sikap mereka yang belot dan mengkhianati rakyat. Oleh itu, YB Zul tidak perlu mendabik dada menghitung jasa-jasanya terhadap keluarga DS Wan Azizah. Perjuangan sebenar adalah berjuang untuk rakyat bukan individu, maka tidak timbul untuk mengungkit jasa kita kepada siapa pun. Kita menyokong DS Anwar selagi DS Anwar berjuang untuk rakyat.

Saya berharap YB Zul bersabar dan bermuhasabah diri dan jadilah sebagai seorang insan yang sentiasa dikenang orang bukan dihina orang. Mencabar DS Wan Azizah bertanding menentangnya umpama ingin menunjukkan kekuatan. Sekiranya benar-benar merasa dirinya kuat dan gagah, kosongkan kerusi MP itu segera dan PKR akan menghantar calon yang setaraf dengan YB Zul bukannya DS Wan Azizah. Kita tidak mahu DS Wan Azizah meletakkan dirinya setaraf dengan orang seperti beliau. Sekarang tepuklah dada dan bertanyalah kepada diri sendiri, "apakah nikmatnya aku memakan gaji dan elaun MP hasil dari sokongan pengundi yang mengundi PKR bukan mengundi tubuh batangku?". Jawablah dengan jujur dan penuh keimanan.

- Wan Fauzdin

http://wfauzdin.blogspot.com/2010/03/apabila-yb-zul-ungkit-jasa-beliau.html

09.03.2010

Follow M@RHAEN on Twitter


Laman Marhaen

Reka Lencana Anda
Hantar artikel ini kpd sahabat: